
KUALA LUMPUR, 18 Januari 2025: Dalam menggabungkan semangat kerjasama dan komitmen warga profesional dan pengamal swasta dalam mempromosikan peranan pengurusan hartanah di Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai Memorandum Persefahaman dengan Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA).
MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Presiden PERTAMA, Prof. Dr. Ismail Omar di AnCasa Hotel, hari ini.
Dr. Mohd Foad berkata, inisiatif ini secara tidak langsung akan mengukuhkan jaringan antara UUM dengan pihak PERTAMA seperti yang disarankan dalam agenda Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
Menurutnya, MoU ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk menjalin hubungan dalam penganjuran kursus dan latihan berhubung pentadbiran tanah di Malaysia kepada warga UUM khususnya.
Katanya, peranan yang dimainkan oleh pihak PERTAMA ini dapat membantu dalam memperkayakan pengetahuan kedua-dua pihak dan membantu merapatkan jurang antara teori dan amalan.
“Selain itu, jaringan kerjasama ini pastinya menyumbang kepada pembangunan pelajar UUM terutamanya memberi pendedahan praktikal kepada pelajar UUM berhubung pengurusan hartanah di Malaysia.
“Kerjasama seperti ini wajar diteruskan di masa hadapan agar sumbangan dari organisasi dapat dipelbagaikan untuk impak dan manfaat yang lebih besar dan signifikan kepada pelajar, warga UUM dan juga komuniti sekitar,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia dengan Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia.
Beliau berkata, hubungan yang terjalin ini boleh dijadikan sebagai platform perbincangan dalam pembangunan dan pemantapan kurikulum bidang pentadbiran, pengurusan dan pembangunan tanah yang yang lebih inklusif dan kondusif sesuai dengan program akademik yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SoG).
Menurutnya, hubungan ini tidak akan terhenti disini sahaja dan akan diteruskan dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dalam penawaran Sijil Profesional Pihak Berkuasa Tempatan dan Penjanaan Pendapatan dalam masa terdekat.
Katanya, beliau amat berharap agar kolaborasi antara pihak UUM dan PERTAMA sentiasa utuh dan berkekalan melalui penganjuran aktiviti bersama pada masa hadapan.
Sementara itu, Presiden PERTAMA, Dr. Ismail berkata, MoU ini merupakan wadah membina satu kerjasama erat dengan institusi akademik yang terkenal dalam bidang-bidang pengurusan termasuk polisi dan sebagainya.
Menurutnya, PERTAMA juga sudah berusia 10 tahun telah melalui ranjau kehidupan menjadikan ia lebih mantap dan matang.
Katanya, melihat ada sinergi antara PERTAMA dan UUM mampu meneroka dan berjalan lebih jauh lagi khusus dalam bidang kerajaan tempatan seperti tanah jerlus, kebakaran besar dan banyak lagi.
“Dengan adanya ilmu yang digabung jalin akan memberi kekuatan untuk menghadapi dugaan mendatang dan dapat meneroka lebih cara tersusun dapat membina kerjasama erat dan padu.
“MoU ini juga merupakan satu titik tolak bersinergi selain berstrategik. Ia adalah satu langkah ke hadapan dalam membina kekuatan ini dengan bantuan UUM,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Presiden PERTAMA, Prof. Dato’ Sr. Dr. Azimuddin Bahari; Naib Presiden 1, Datuk Muhamad Haitamin Ishak; Dekan SoG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid; pegawai-pegawai PERTAMA dan UUM.