All News

SOG wujud kesedaran jaga kebersihan melalui Program Keceriaan Sekolah

Image

Gambar Noor Faizzah Dollah

YAN, 9 Februari 2025: Program Keceriaan Sekolah yang merupakan inisiatif kolaborasi antara Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Pauh telah diadakan baru-baru ini.

Setiausaha Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, SOG, Dr. Nor Suzylah Sohaimi berkata, tujuan program diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan persekitaran sekolah, mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang ceria dan kondusif untuk pembelajaran.

Menurutnya, program ini juga meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pensyarah SOG, selain mengeratkan hubungan bersama komuniti, tetapi juga hubungan sesama pensyarah.

Seramai 11 pensyarah dari Jabatan Perancangan & Pembangunan Hartanah dan Jabatan Pengurusan Awam, SOG telah terlibat dalam program ini di mana antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan kawasan sekitar sekolah termasuk mengecat dinding sekolah untuk menceriakan suasana dan meningkatkan estetika kawasan sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampong Pauh, Nor Shahizan Azham menyampaikan penghargaan kepada pihak SOG,UUM atas usaha murni ini.

Beliau menegaskan bahawa program seperti ini amat penting untuk memupuk kesedaran dalam kalangan murid tentang nilai-nilai murni, selain mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah rendah.

“Program Keceriaan Sekolah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada SK Kampong Pauh dari segi fizikal, malah turut memberi impak positif dalam membentuk sikap dan nilai murni dalam kalangan murid-murid.

“Kolaborasi ini membuktikan bahawa hubungan erat antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah rendah mampu memberi sumbangan besar dalam pembangunan modal insan yang berkualiti,” katanya.

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pihak bagi memastikan impaknya lebih meluas dan berterusan. – Dr. Nor Suzylah Sohaimi