All News

Kursus Pengurusan Organisasi dan ‘team building’ perkasa kepimpinan Persatuan Pengurusan Pembangunan

Image
Image

LUMUT, 17 Februari 2025: Barisan Kepimpinan Persatuan Pengurusan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) di Studio Pembangunan Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) pada 11 Februari lalu.

Dekan SoG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, kursus ini merupakan inisiatif persatuan bagi memperkasakan barisan kepimpinan mereka dengan memberi pendedahan mengenai penggunaan Sistem SAMS dalam pengendalian program, selain memahami aspek pengurusan kewangan dan surat-menyurat yang berkaitan dengan pentadbiran persatuan.

Menurutnya, KPO ini juga berperanan memperkukuhkan pemimpin persatuan dalam memahami tugas mereka sebagai pengarah program, sekali gus meningkatkan kecekapan organisasi yang diterajui oleh Persatuan Pengurusan Pembangunan.

Sebagai kesinambungan kepada KPO, pada 12 Februari lalu, barisan kepimpinan persatuan telah berangkat ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk menyertai Program Team Building dan Motivasi Siswa yang dikendalikan oleh Pusat Kepimpinan TLDM.

Program ini bertujuan memperkukuhkan elemen kepimpinan, motivasi, serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta, sejajar dengan matlamat Persatuan Pengurusan Pembangunan untuk melahirkan pemimpin muda yang kompeten dan berwibawa.

“Saya berharap program ini dapat melahirkan pemimpin muda yang lebih berdaya saing dan berwawasan, khususnya dalam kalangan ahli Persatuan Pengurusan Pembangunan,” katanya.

Program dimulakan dengan taklimat mendayung di Pusat Latihan Kemahiran Air (PLKA) sebelum peserta menghadapi cabaran mendayung perahu panjang ke Pulau Pangkor. Aktiviti ini menguji ketahanan fizikal, koordinasi pasukan, serta keupayaan peserta dalam menghadapi cabaran sebenar sebagai satu pasukan.

Pada sebelah malam, peserta menyertai sesi Ice Breaking & 4K1i di Dewan Unity. Aktiviti 4K1i, yang meliputi Kepimpinan, Kerjasama, Kreativiti, Komunikasi, dan Integriti bertujuan membentuk pemimpin holistik yang berupaya mengendalikan organisasi dengan lebih cekap. Sesi ini turut membantu peserta mengenali satu sama lain dengan lebih baik sambil mengasah kemahiran pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah secara berkumpulan.

Hari kedua program bermula dengan cabaran utama iaitu Merempuh Halangan. Aktiviti ini menguji daya tahan mental dan fizikal peserta serta menggalakkan penyelesaian masalah secara kolektif dalam situasi tekanan.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Pegawai Laksana Pusat Kepimpinan TLDM, Komander Mehamad Khairun Zakaria TLDM.

Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan barisan kepimpinan untuk terus menjalinkan kerjasama dan menyertai program di Pusat Kepimpinan TLDM pada masa akan datang.

Turut hadir, Komander Kehormat PSSTLDM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di mana dalam ucapan beliau menekankan kepentingan latihan seperti ini dalam membentuk daya kepimpinan dan ketahanan mental pelajar, serta memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

Pihak Persatuan Pengurusan Pembangunan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Kepimpinan TLDM, khususnya Pegawai Memerintah Pusat Kepimpinan TLDM, Komander Mohd Zulkiflee Markam; Pegawai Laksana Pusat Kepimpinan TLDM, Komander Mehamad Khairun Zakaria TLDM; Ketua Jurulatih Pusat Kepimpinan TLDM, Komander Muammar Ghadaffi Yaakub TLDM serta Pegawai Koordinasi Pusat Kepimpinan TLDM, Leftenan Komander Muhammad Shahanizam Shaharil Hisham TLDM atas komitmen dan sokongan mereka dalam memastikan kejayaan program ini.

Sebagai penutup, peserta berpeluang menyertai lawatan ke kapal KD HANG TUAH, di mana mereka diberikan penerangan mengenai sejarah dan fungsi kapal tersebut. KD HANG TUAH merupakan kapal perang milik TLDM yang telah berkhidmat sejak sekian lama dan memainkan peranan penting dalam latihan ketenteraan serta operasi keselamatan perairan negara. Peserta turut diberikan penerangan tentang sistem navigasi, kawalan kapal, serta peranannya dalam pertahanan maritim Malaysia. Selain itu, peserta turut menerima taklimat kerjaya berkaitan pengurusan pembangunan dan bidang kepakaran dalam TLDM.

Dengan kombinasi Kursus Pengurusan Organisasi dan Program Team Building TLDM, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu teori tetapi juga pengalaman praktikal dalam kepimpinan dan kerja berpasukan.

Program ini berjaya mencipta satu pengalaman yang mencabar dan bermakna, selaras dengan nilai 4K1i – Kepimpinan, Kerjasama, Kreativiti, Komunikasi, dan Integriti, yang menjadi asas dalam melahirkan pemimpin berkualiti untuk masa depan serta memperkukuhkan peranan Persatuan Pengurusan Pembangunan. – Adi Syahid Mohd Ali